Jangan terlalu sibuk mengurus dunia hingga lupa bahwa hidup punya batas waktu. Hidup harus seimbang, menabunglah sekarang demi akhiratmu.
Home » » Nasehat Ali Bin Abi Thalib

Nasehat Ali Bin Abi Thalib

     Wahai manusia, tiada kemulian yang lebih tinggi daripada Islam, tiada karam (penghormatan) yang lebih mulia daripada takwa, tiada akal yang lebih berperisai daripada warak. Tiada ada orang yang memberi syafaat yang lebih berjaya daripada taubat. Tiada pakaian yang lebih cantik daripada kesihatan. Tiada penjagaan yang lebih baik daripada pengawalannya.

       Tiada harta yang dapat menghilangkan kepapaan selain daripada keredaan dan qana'ah (memadai apa yang ada). Tiada barang simpanan yang lebih kaya daripada sifat qana'ah, barangsiapa yang memadai apa yang ada, maka dia akan mendapat kerehatan. Keinginan kepada sesuatu itu adalah punca kepenatan. Pemonopolian itu adalah kesinambungan kepenatan. Hasad adalah bala agama.

       Mementingkan diri adalah punca peningkatan dosa, kezaliman akan membawa kepada kecelakaan. Ketamakan adalah meliputi segala keaifan. Kemungkinan ketamakan yang hampa dan angan-angan yang bohong akan membawa kepada pencegahan dari melakukan kebaikan dan suatu perniagaan yang akan membawa kepada kerugian.

       Sesungguhnya orang yang melibatkan diri di dalam sesuatu perkara tanpa melihat kepada kesan-kesannya, maka sesungguhnya ia mendedahkan dirinya kepada keburukan dan seburuk-buruk  kalung adalah kalung dosa bagi seorang mukmin.

       Wahai manusia, tiada simpanan yang lebih bermanfaat daripada ilmu, tiada kemuliaan yang lebih tinggi daripada budi pekerti. Tiada keturunan yang lebih baik daripada adab. Tiada kepenatan yang lebih rendah daripada kemarahan. Tiada kecantikan yang lebih berseri daripada akal. Tiada keburukan yang lebih buruk daripada pembohongan. Tiada penjagaan yang lebih baik daripada diam. Tiada kehilangan (ghaib) yang lebih hampir daripada kematian.

        Wahai manusia, barangsiapa melihat kepada keaifan dirinya, maka tiada masa baginya melihat keaifan orang lain. Barangsiapa yang reda dengan rezeki Allah kepadanya, dia tidak  berdukacita apa yang ada pada tangan orang lain. Barangsiapa yang menghunus pedang kezaliman akan dibunuh dengannya. Barangsiapa yang menggali  telaga untuk saudaranya, maka dia akan terjatuh ke dalamnya.

       Barangsiapa yang mendedahkan hijab orang lain, maka aurat rumahnya akan didedahkan. Barangsiapa yang terlupa kesilapannya, maka dia akan membesarkan kesilapan orang lain. Barangsiapa yang kagum dengan pendapatnya akan tersesat. Barangsiapa yang berpegang kepada pendapatnya sahaja akan tergelincir. Barangsiapa yang takbur terhadap orang ramai akan terhina. Barangsiapa yang membodohi orang ramai akan dicaci. Barangsiapa yang bercampur dengan orang bawahan akan dihina. Barangsiapa yang menanggung apa yang dia tidak mampu, akan menjadi lemah.

       Wahai manusia, tiada harta yang lebih berharga daripada akal. Tiada kefakiran yang lebih parah daripada kejahilan. Tiada penasihat yang lebih daripada nasihat. Tiada akal yang menyamai akal pentadbiran. Tiada ibadat seperti tafakur. Tiada demonstrasi yang lebih dipercayai daripada mesyuarat. Tiada  kengerian yang lebih dahsyat daripada takjub kepada diri sendiri. Tiada kewarakan yang lebih baik dari menahan perkara yang diharamkan. Tiada budi pekerti yang lebih baik daripada kesabaran dan diam.

       Wahai manusia, Sesungguhnya manusia mempunyai sepuluh sifat yang dizahirkan oleh lidahnya: Yang zahir menceritakan yang batin,  yang bijak terserlah di dalam ucapannya, yang bercakap dituntut menjawab, yang memberi pertolongan mengetahui hajat seseorang, yang mencerita sesuatu mengetahui perkara tersebut, yang memerintah memerintah dengan baik, yang memberi nasihat melarang perkara yang buruk, yang mulia dapat menenangkan segala dukacita, yang hadir dapat mendedahkan kezaliman, yang menghibur dapat melazatkan telinga.

       Wahai manusia, tiada kebaikan jika berdiam diri dari menceritakan kebenaran sebagaimana tiada kebaikan jika berkata sesuatu yang tidak diketahuinya. Ketahuilah, wahai manusia, sesungguhnya orang yang tidak memiliki lidahnya akan menyesal, barangsiapa yang tidak mengetahui, dia adalah seorang yang jahil. Barangsiapa yang tidak mempunyai budi pekerti tidak akan dilayani. Barangsiapa yang tidak mempunyai tindak balas, maka dia tidak mempunyai akal. Barangsiapa yang tidak mempunyai akal dihina. Barangsiapa yang dihina, tidak akan tenang. Barangsiapa yang tidak tenang akan diburuk-burukkan.

       Barangsiapa yang mendapatkan harta bukan haknya, maka dia membelanjakannya tanpa mendapat pahala. Barangsiapa yang ditinggalkan di dalam keadaan dia dipuji, dia akan ditinggalkan di dalam keadaan dia dikeji. Barangsiapa yang tidak memberi kepada orang yang duduk, maka dia akan menghalang orang yang berdiri. Barangsiapa yang menuntut kemuliaan yang bukan haknya, akan dihina. Barangsiapa yang menang dengan kezaliman akan dikalahkan. Barangsiapa menentang kebenaran akan diikuti kelemahan.

       Barangsiapa mendalami sesuatu, dia akan merasa tenang. Barangsiapa merasa takbur, maka dia akan hina. Barangsiapa yang tidak baik di dalam sesuatu perkara , maka dia tidak akan dipuji.

       Wahai manusia, sesungguhnya kematian sebelum kehinaan, mempertahankan diri sebelum dibodohi, hisab sebelum balasan, kubur adalah lebih baik daripada kefakiran, merendahkan penglihatan adalah lebih baik dari banyak melihat, masa adalah satu hari untuk kamu dan satu hari ke atas kamu dan apabila ia adalah hari kamu, maka janganlah kamu bergembira. Apabila ianya ke atas kamu, maka bersabarlah, dengan kedua-duanya kamu diuji.

       Wahai manusia, perkara yang paling pelik pada diri manusia adalah hatinya. Ia mempunyai perkara-perkara yang bersifat hikmat dan perlawanannya. Justeru itu, jika ia diberi harapan, maka tamak akan menghinannya. Jika tamak menguasainya, maka sifat kepentingan diri akan membinasakannya. Jika perasaan putus asa menguasainya, maka dukacita akan membunuhnya. Jika kemarahan dibentangkan kepadanya, maka ia bertambah marah. Jika ia bergembira dengan penuh keredaan, dia akan terlupa menjaga dirinya.

       Jika ketakutan menguasainya, ia akan berhati-hati. Jika keamanan menguasainya, maka kemuliaan diri akan merampasnya. Jika ia menguasai harta, maka kekayaannya akan menzaliminya. Jika kefakiran menguasainya, maka bala akan menimpanya. Jika kelaparan menguasainya, maka ia akan menjadi lemah. Jika ia terlalu kenyang, maka ia akan dikuasai perutnya. Lantaran itu, setiap kecuaian akan mendatangkan kemudaratan dan setiap yang melampaui batas akan merosakkan [sesuatu].

       Wahai manusia, Barangsiapa yang lari akan dihina. Barangsiapa yang pemurah akan menjadi ketua. Barangsiapa yang memiliki harta yang banyak akan menjadi ketua. Barangsiapa yang mempunyai budi pekerti akan menjadi mulia. Barangsiapa yang memikir tentang zat Allah akan menjadi kafir zindiq. Barangsiapa yang memperbanyakkan sesuatu, maka dia akan dikenali dengannya. Barangsiapa banyak bersenda gurau, maka dia akan dipandang remeh. Barangsiapa yang banyak ketawa, maka kehibatannya akan hilang.

       Orang yang tidak mempunyai budi pekerti akan merosakan maruah agamanya. Sesungguhnya perbuatan yang baik adalah menjaga kehormatan dengan harta. Bukanlah orang yang bergaul dengan orang jahil itu sama dengan orang yang mempunyai akal. Lantaran itu, barangsiapa yang bergaul dengan orang jahil, maka hendaklah dia bersedia tentang apa yang akan dikatakan kepadanya. Orang yang kaya dengan hartanya tidak akan terlepas daripada kematian. Begitu juga dengan orang yang fakir dengan kefakirannya.

       Wahai manusia, sekiranya kematian dapat dibeli, nescaya ia akan dibeli daripada ahli dunia oleh orang kaya dan pencaci yang hina. Wahai manusia, sesungguhnya hati mempunyai tanda-tanda untuk mengetahui seorang pelampau atau seorang yang bijak dan berwaspada daripada bahaya. Hati juga terdedah kepada hawa nafsu, tetapi akal melarang dan menegah. Bagi pengelaman, ilmu yang tersendiri. Teladan membawa kepada petunjuk. Memadailah dengan budi pekerti untuk diri anda laksanakan sekalipun anda tidak menyukainya untuk orang lain. Hak anda ke atas saudara mukmin anda sebagaimana haknya ke atas anda. Sesungguhnya berbahayalah orang yang berpegang kepada pendapatnya sahaja.

       Fikirlah sebelum melakukan sesuatu, kerana ia menyelamatkan anda daripada penyesalan. Barangsiapa yang mengalu-ngalukan berbagai pendapat, maka dia mengetahui punca kesalahan. Barangsiapa yang menahan dirinya daripada percakapan yang tidak bermanfaat, maka akalnya akan memperbetulkan pendapatnya.

 

Previous
« Prev Post

Berikan Komentar Anda

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.